- 1. 70Mai (RM175-RM619)
- 2. DDPai (RM149-RM1799)
- 3. GOQ (RM75-RM288)
- 4. VIOFIO (RM404-RM1719)
- Cara Memilih Dashcam
- Kualiti Imej
- Pilihan Lekapan
- Mod Parkir (Parking Mode)
- Ketersambungan (Connectivity)
Menurut laporan Free Malaysia Today, sebanyak 418,237 kemalangan telah dilaporkan sepanjang tahun 2020 di Malaysia. Ini antara sebab kenapa kamera papan pemuka (dashcam) sudah menjadi kewajipan kepada semua pemandu kenderaan untuk menjamin keselamatan mereka.

Sebuah dashcam mungkin tidak akan menyelamatkan kereta anda daripada kemalangan tetapi sekurang-kurangnya ia boleh merekod apa yang terjadi untuk menjamin keselamatan anda, untuk membuktikan yang anda tidak bersalah, dan ia mungkin boleh menyelamatkan kewangan anda juga.
Berikut merupakan empat jenama dashcam yang terbaik dan bagaimanakah untuk anda memilih mana satu yang terbaik untuk kereta anda,
1. 70Mai (RM175-RM619)
Dengan pelbagai ciri menarik, paparan yang jelas dan harga yang berpatutan menjadikan 70Mai sebagai jenama paling popular bagi dashcam di Malaysia. Ia menawarkan pelbagai jenis dashcam daripada untuk model pemula sehinggalah ke model premium dengan resolusi 4K dan sistem bantuan pemandu, jenama ini dah cukup untuk memenuhi keperluan anda.

70mai Dashcam Pro Plus+ A500S Car Recorder
Antara model yang paling laris, 70mai Dashcam Pro Plus+ A500S Car Recorder yang mempunyai sistem GPS terbina dalam, Advanced Driver Assistance System (ADAS) dan juga paparan resolusi super tinggi 1944p, semuanya dengan harga serendah RM309!
2. DDPai (RM149-RM1799)
Sebuah jenama dashcam mewah yang memfokuskan kepada rekaan yang bergaya untuk serasi dengan kereta anda dan kualiti visual yang tiada tandingan, dashcam DDPai mempunyai kualiti visual yang tiada tandingan dan merupakan peralatan mengagumkan yang semua kereta wajib ada.

DDPai Z40 1944 Dash Cam
Pada harga cuma RM249, DDPai Z40 1944 Dash Cam merupakan model yang paling banyak dicari dengan semua ciri asas seperti resolusi definisi tinggi penuh 1944p, monitor IPS, dan fungsi rakaman tanpa henti. Kalau anda sedang mencari ciri tambahan seperti GPS terbina dalam dan Sense Reality Function, anda kenalah berbelanja lebih sedikit untuk model yang lebih canggih – DDPai X2S Pro Dashcam.

DDPai X2S Pro Dashcam
3. GOQ (RM75-RM288)
Untuk mereka yang sedang berjimat, dashcam jenama GOQ menawarkan semua ciri wajib dalam model yang tak terlalu mahal tanpa menurunkan kualiti. Harga yang berpatutan ini menyebabkan anda terpaksa melupakan ciri canggih seperti GPS terbina dalam dan rakaman waktu malam.

GOQ D90 3-Way Record Camera Dashcam
GOQ D90 3-Way Record Camera Dashcam merupakan model yang paling berjaya dan ia dilengkapi dengan lensa depan sudut luas 170 darjah, kamera depan resolusi 720p, dan G-Sensor yang membolehkan dashcam mula merakam secara automatik apabila ia mengesan perlanggaran. Pada harga RM89, ia jenama yang sangat dicari mereka yang mempunyai bajet yang ketat tetapi mahukan dashcam yang berkualiti.
4. VIOFIO (RM404-RM1719)
Daripada kamera aksi kepada dashcam, VIOFO ingin mencipta produk yang premium, mudah digunakan, dan berguna untuk kegunaan ramai. Kekal dengan imej jenama mereka, mereka menawarkan dashcam kelas pertengahan hinggalah kelas premium dengan rekaan yang kemas dan sistem yang berinovasi, sesuai untuk kegunaan harian anda.

VIOFO A129 Pro Duo 4K Dual Dash Cam
Model VIOFIO yang terbaik sekali, VIOFO A129 Pro Duo 4K Dual Dash Cam berharga RM936 tetapi apa yang anda akan dapat ialah kamera depan dengan resolusi berdefinisi Ultra Tinggi 4K, sensor imej Sony Exmor R Starvis berserta dengan sambungan Wi-Fi menggunakan aplikasi VIOFO yang membolehkan anda memuat turun rakaman terus ke telefon anda untuk dikongsi atau disunting.
Cara Memilih Dashcam
Kualiti Imej
Sekalipun anda ada rakaman sesuatu kemalangan, ianya tidak berguna jika imej rakaman tersebut kabur dan anda tidak boleh melihat nombor pendaftaran kereta yang terlibat.
Inilah sebabnya mengapa anda perlu memilih dashcam dengan resolusi sekurang-kurangnya 720p untuk memastikan anda mendapat imej yang jelas. Kalau anda ada bajet lebih, dashcam dengan resolusi 2K atau 4K akan memberikan anda imej yang lebih jelas yang boleh membantu anda menang andai kata berlaku perang mulut selepas kemalangan.

Tambahan lagi, dashcam dengan resolusi tinggi memerlukan ruang simpanan yang lebih besar untuk menyimpan video anda. Jadi, jangan kedekut dengan kad memori. Rakaman satu minit dalam 4K memerlukan saiz memori kira-kira 450MB, jadi sangat disarankan untuk anda mendapatkan kad memori dengan saiz simpanan 128GB. Lagipun anda tak mahu kehilangan rakaman berharga di saat ia diperlukan.
Pilihan Lekapan
Untuk melekapkan dashcam anda, ada tiga cara yang boleh digunakan, bergantung kepada pilihan lekapan yang datang dengan dashcam anda.

Pelekat
Lekapan yang paling biasa adalah menggunakan pelekat, biasanya pelekat dua sisi diletakkan pada permukaan dashcam dan pada cermin depan. Kaedah lekapan ini adalah yang paling kuat dan paling tahan lama tetapi kalau nak lekatkannya anda kena pastikan untuk melekatkannya dengan betul.
Melekapkan pada sudut yang betul menggunakan pelekat agak susah dan anda juga boleh mengotorkan cermin depan anda jika pelekat terpaksa dipasang banyak kali. Tapi jika anda buat dengan betul, dashcam anda tidak akan kelihatan ketara tidak seperti menggunakan kaedah lain.
Cawan Sedut (Suction Cup)
Cara kedua untuk melekapkan dashcam anda adalah dengan menggunakan tapak yang disambungkan kepada cawan sedut (suction cup) yang dilekapkan pada cermin depan. Cawan sedut sangat fleksibel untuk digunakan dan anda boleh laraskan ia untuk mendapatkan sudut rakaman yang betul.
Walau bagaimanapun, lekapan ini tidak tahan lama dan ia memerlukan ruang yang banyak pada bahagian cermin depan. Lama-kelamaan, kekuatannya akan berkurangan dan sambungan yang memegang dashcam akan jadi makin longgar menyebabkan dashcam anda jatuh terkulai jika tidak dipasang dengan betul.
Disambungkan Pada Cermin Pandang Belakang.
Cara ketiga yang anda boleh gunakan untuk melekapkan dashcam adalah menggunakan pendakap untuk memasang dashcam anda pada cermin pandang belakang. Melekapkan dashcam anda menggunakan kaedah ini sangat senang dan ia tidak akan nampak ketara kerana bersambung dengan cermin pandang belakang anda.
Tetapi kelemahan yang paling besar adalah sudut pandangan dashcam anda akan terhad kepada sudut cermin pandang belakang. Dengan cara ini, anda tak boleh mendapatkan rakaman dengan betul apa yang terjadi di hadapan anda. Cara ini paling sesuai digunakan untuk dashcam yang mempunyai sudut rakaman yang luas.
Mod Parkir (Parking Mode)
Sesetengah dashcam mempunyai Mod Parkir (Parking Mode) yang membolehkan dashcam merakam secara automatik apabila ada pergerakan dikesan ketika kereta diparkir dan enjin dimatikan. Ia bertindak seperti kamera pengawasan yang menggunakan G-sensor atau pengesan pergerakan untuk memulakan rakaman.
Kelemahan ciri ini adalah ia boleh menyebabkan dashcam menggunakan kuasa bateri secara kerap. Untuk mengelakkan bateri kereta cepat habis semasa menggunakan fungsi ini, anda boleh buat sambungan terus kepada kotak fius kereta anda dengan menggunakan bateri luaran untuk menghidupkan dashcam anda.
Ketersambungan (Connectivity)
Antara ciri yang patut anda lihat semasa memilih dashcam adalah pilihan ketersambungan (connectivity). Kebanyakan dashcam memerlukan anda untuk mendapatkan rakaman menggunakan kad memori sahaja, manakala ada dashcam yang tersedia dengan sambungan bluetooth atau Wi-Fi terbina dalam untuk memudahkan anda mengambil rakaman.
Apa yang anda perlu buat cumalah sambungkan telefon anda kepada dashcam menerusi aplikasi (bergantung kepada jenama) dan anda boleh melihat dan menguruskan video dalam masa sebenar. Walaupun dashcam dengan fungsi sebegini biasanya mahal, tetapi anda boleh mengakses rakaman dengan cepat, yang sangat-sangat berguna ketika kecemasan.
Kalau anda memasang dashcam yang paling canggih sekalipun, ia tetap tidak boleh menghalang kemalangan daripada berlaku. Ingatlah untuk sentiasa memandu dengan berhati-hati. Patuhi had laju, gunakan lampu isyarat dan fokus ke atas jalan ketika memandu.
Dengan ini, kami berharap anda boleh mendapatkan dashcam dengan ciri yang bersesuaian dengan keperluan anda.

azwadie.azman@carsome.com
Seseorang yang bersahabat baik dengan papan kekunci, kamus, dan buku yang bagus. Zon penulisannya adalah ruang sakral yang melahirkan pemikiran yang boleh memikat mereka yang membacanya.